JANUARI HINGGA MAC 2023

Sepanjang tempoh Januari hingga Mac 2023, Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik telah menangkap seramai 50,109 orang di bawah pelbagai seksyen kesalahan yang termaktub di bawah Akta Dadah Berbahaya 1952, Akta Racun 1952 dan Akta Penagih Dadah (R&P) 1983. Daripada jumlah tersebut seramai (90) individu ditahan di bawah Seksyen 3(1) ADB Langkah-Langkah Pencegahan Khas (LLPK) 1985.

Sebanyak (91) sindiket yang melibatkan (256) orang berjaya diberkas serta (3) buah makmal dadah haram berjaya dibongkar dengan (3) tangkapan ke atas ahli kimia.

Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik juga berjaya merampas sebanyak 7,538 kilogram pelbagai jenis dadah dan 1,013 liter pelbagai jenis cecair dadah. JSJN juga telah berjaya merampas sebanyak 24,760 kilogram daun ketum dan 18,049 liter air ketum serta 2 batang pokok ganja yang membawa nilai rampasan adalah sebanyak RM199.5 juta.

Selain itu, seramai 2,135 penagih dadah tegar yang mempunyai rekod kesalahan dadah berulang di bawah Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 telah dituduh di bawah Seksyen 39C Akta Dadah Berbahaya 1952. Daripada jumlah tersebut seramai 1,189 individu telah disabitkan kesalahan di bawah seksyen yang sama.

Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik tidak akan berkompromi dengan mana-mana penjawat awam yang terlibat dengan aktiviti pengedaran dan penyalahgunaan dadah apabila seramai (156) orang penjawat awam telah ditangkap atas pelbagai kesalahan dadah. (4) orang daripadanya yang ditahan di bawah Seksyen 3(1) Akta Dadah Berbahaya (ADB) Langkah-Langkah Pencegahan Khas (LLPK) 1985.

Sepanjang tempoh itu juga, sebanyak 20,204 kertas siasatan dibuka dan daripada jumlah tersebut sebanyak 17,807 kertas siasatan berjaya dituduh dengan peratus pertuduhan adalah 88.14%.

Bagi melumpuhkan sindiket pengedaran dadah di Malaysia, pelbagai aset sindiket dadah yang bernilai RM23.67 juta telah disita manakala sebanyak RM1.89 juta nilai harta yang telah dilucuthak.

Terdapat dua kes menarik dalam tempoh tersebut iaitu pada 28 Mac 2023 tangkapan ke atas (2) individu di sekitar Petaling Jaya, Selangor serta merampas 298.49 kilogram dadah jenis syabu yang bernilai RM10.7 juta. Manakala pada 30 Mac 2023, tangkapan ke atas (6) individu di sekitar Seberang Perai Tengah, Pulau Pinang serta merampas 183.6 kilogram dadah jenis syabu yang bernilai RM6.1 juta.

Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik menyeru orang ramai yang mempunyai maklumat aktiviti pengedaran dan penyalahgunaan dadah di kawasan anda, sila salurkan ke Hotline JSJN di talian 012-208 7222.

Categories: Berita